Apabila bulan puasa menjelang, kita jadi nostalgik. Teringatkan, emaklah orang yang paling berpengaruh membina keinginan kita untuk berpuasa. Pendekatan pertama yang biasa emak gunakan ialah dengan meminggirkan kita ketika waktu berbuka. Tatkala ahli keluarga yang lain enak menjamah hidangan, emak suruh kita 'main jauh-jauh' kerana kita tidak layak untuk makan bersama mereka kerana tidak berpuasa.
Situasi ini membuatkan kita berasa diketepikan. Perasaan ingin berpuasa mula datang membuak-buak. Tentu sekali emak akan gembira bila kita suarakan hasrat hendak berpuasa. Kata emak, 'Berpuasa sekerat hari pun tak apa.' Maka keesokannya, kita mulalah bangun bersahur meskipun makan dengan mata yang terpejam.
Pada siang harinya, kitalah yang bangun paling lewat kerana kelesuan. Tetapi emak akan menggalakkan kita terus berpuasa bila melihat kita melepek di lantai simen kerana ingin menyegarkan badan. Kata emak, 'Lepas pukul 12.00, bolehlah berbuka.' Dengan wajah yang pucat dan monyok, kita mengangguk lesu. Bila terasa haus, kita ke bilik mandi untuk basuh muka dan menjaram kepala. Mungkin dalam diam-diam kita berpura-pura tertelan seteguk dua air menghilangkan dahaga! Tepat jam 12, mulalah kita mengendeng di dapur. Dan, emak pun menghidangkan sepinggan nasi.
Tetapi menjelang waktu berbuka, sekali lagi kita dipinggirkan dan tidak dapat merasa juadah hidangan keluarga kerana berpuasa sekerat hari. Bermula dari situ, kita mula memasang niat hendak berpuasa penuh. Tentu sekali emak gembira kerana anak kecilnya sudah hendak jadi seperti orang dewasa. Keesokkannya, meskipun hendak berpuasa macam Kak Long, kitalah anak yang paling kuyu mata, paling suka melepek, paling kuat merengek kerana kebulur dan paling kerap melangut ke jam dinding menghitung waktu.
Di sepanjang hari, pelbagai alasan seperti lapar, pening kepala dan haus, dikhabarkan pada emak. Namun emak buat-buat tak dengar keluhan kita, kerana inginkan anaknya berpuasa penuh. Setibanya waktu berbuka, kitalah orang paling awal duduk mengadap juadah dan kitalah yang menjadi perhatian keluarga. Emak dan ayah akan penuhkan pinggan kita dengan segala juadah kerana berbangga akhirnya kita sudah berjaya berpuasa penuh.:)
No.12 nak bertunang...
4 years ago
0 comments:
Post a Comment